Categories
Uncategorized

5 Tips Penambahbaikan Landskap Pelaksanaan TVET Di Malaysia

Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) kini menjadi bualan hangat sejak mendapat perhatian umum akhir-akhir ini. Sebelum bercerita mengenai TVET ini, elok rasanya jika kita mengetahui maksud TVET itu sendiri.

Teknikal merujuk kepada pengetahuan yang berkaitan dengan pembuatan barangan hasil industri atau kaedah mencipta sesuatu, manakala vokasional pula merujuk kepada pendidikan atau latihan yang menyediakan individu untuk pekerjaan tertentu.

Secara mudahnya TVET ini merujuk kepada pembelajaran yang memberi penekanan kepada kemahiran psikomotor seseorang pelajar dalam sesuatu bidang dan menyediakan mereka untuk memasuki bidang pekerja.

Dunia yang sedang membangun seperti Malaysia memerlukan pelbagai jenis tenaga manusia dan institusi pendidikan seharusnya mengambil tanggungjawab dalam memenuhi keperluan ini.

Tujuan utama perlaksanaan TVET ini adalah untuk meningkatkan bilangan tenaga kerja yang mempunyai pengetahuan, sikap yang baik dan berkemahiran tinggi di dalam negara, sekaligus mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing.

Pendidikan berteraskan Teknik dan Vokasional ini telah lama wujud (sejak Tahun 1906, Sekolah Teknik untuk melahirkan juruteknik bagi Jabatan Kerja Raya), cuma nama atau istilah yang digunapakai sahaja berbeza.

Namun, persoalannya mengapa sehingga kini tidak banyak perubahan yang dapat dilihat dan negara kita masih lagi perlu bergantung kepada tenaga kerja asing.

Pasti terdapat perkara yang terlepas pandang dalam melaksanakan program ini. Disini, dikongsikan lima tip yang dilihat mampu menambahbaik landskap pelaksanaan TVET di Malaysia.

1. Jadi FLEKSIBEL dengan polisi dan pengajaran TVET

Perlaksanaan TVET memerlukan institusi pendidikan dan pihak industri bersifat fleksibel dalam memenuhi keperluan masing-masing. Fleksibel dapat memudahkan banyak urusan. Namun, jangan disalah anggap, fleksibel dan ambil mudah adalah dua perkara yang berbeza.

Fleksibel dengan polisi yang digunakan dilihat dapat mempelbagaikan dan mewarnakan lagi perlaksanaan TVET di Malaysia. Pelajar merupakan bakal pekerja pada masa hadapan yang merupakan aset penggerak kepada industri dan ekonomi negara.

Kurikulum yang dibangunkan perlu diselitkan dengan nilai dan kemahiran yang diperlukan di tempat kerja. Kaedah pengajaran juga perlu dipelbagaikan bagi memastikan maklumat yang ingin disampaikan dapat dipindahkan kepada pelajar dengan baik serta penglibatan pelajar sebagai pemberi maklumat.

Pembelajaran berpusatkan pelajar ini dapat memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk menjana idea dan berkongsi pendapat mereka. Kaedah pembelajaran tradisional perlu diubah kepada pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan interaktif.

2. Bina SIKAP positif melalui pembinaan karakter dan kemahiran insaniah

Sikap dan sudut pandang seseorang individu itu akan menentukan tindakan dan langkahan yang diambil. Sikap yang positif akan mengarah kepada tindakan yang positif. Oleh itu, pembinaan karakter dan kemahiran insaniah perlu diberi penekanan bagi melahirkan graduan yang seimbang dan harmoni dalam sesebuah komuniti.

Peningkatan kepada isu kesihatan mental semakin meruncing saban tahun. Ini berdasarkan hasil kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan mendapati seorang daripada tiga orang individu menghadapi masalah kesihatan mental dan bilangan ini akan semakin meningkat jika tiada langkah pembendungan diambil berkaitan isu ini.

Pengurusan dan daya tahan emosi yang baik membolehkan seseorang individu itu mempamerkan potensi diri yang terbaik dalam kehidupan mereka. Macam ayat orang putih ni, you can’t live a positive life with negative mind.

3. Buat KOLABORASI dengan industri automotif dan TVET

Industri adalah pemain utama ekonomi dalam sesebuah negara, institusi pendidikan perlu memainkan peranan sebagai medium pengikat antara pelajar dengan pihak industri.

Pihak industri seharusnya terlibat dalam penambahbaikan kurikulum latihan, pindaan peraturan latihan, khidmat nasihat dan penyeliaan latihan serta peperiksaan. Usaha sama ini membuka lebih banyak peluang untuk penyaluran maklumat terutamanya melibatkan teknologi yang terkini kepada pelajar.

Sebagai orang tengah, institusi pendidikan perlulah merangcang dan melaksanakan aktiviti yang dapat menghubungkan kedua-dua pihak ini seperti perkongsian pakar, lawatan ke industri yang berkaitan, program induksi serta latihan industri.

Selain itu, langkah proaktif yang boleh dilakukan bagi memastikan pelaksanaan TVET berada pada track yang betul adalah dengan mempergiatkan dan mempromosikan program yang melibatkan usahasama antara industri dan institusi pendidikan seperti Skim Latihan Perantis, Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), German Dual Vocational Training (GDVT), Work Based Learning (WBL) dan lain-lain lagi.

4. Tengok KUALITI dalam program TVET

Dalam perlaksanaan sesuatu sistem atau program, kualiti akan menentukan sejauh mana keberhasilan kepada pencapaian matlamat. Senang kata, nak tengok kualiti sesuatu program yang dijalankan adalah berdasarkan produk yang dihasilkan.

Dalam hal ini, graduan merupakan kayu ukur kepada keberhasilan program yang dijalankan. Penilaian secara berterusan terhadapat graduan perlu dilakukan. Kredit perlu diberikan kepada program yang mendapat pengikitirafan MQA.

Ini kerana standard yang jelas telah ditetapkan setiap program yang dibangunkan perlu menjalankan kajian kebolehpasaran selepas 3 hingga 5 tahun pelajar bergraduat. Selain itu, graduan yang cemerlang terhasil daripada tenaga pengajar yang kompeten dan proaktif.

Justeru itu, pembangunan profesion staf tidak boleh dipandang sepi dan diketepikan. Perancangan bagi pembangunan profesion staf perlu dikaji secara tahunan ini bagi menampung sebarang kecacatan yang wujud.

5. Membesarkan satu KOMUNITI TVET

Membangun bersama sebagai satu komuniti yang menjadi agen perubah dan penambahbaik dalam pelaksanaan TVET. Berganding bahu serta menyokong antara satu sama lain. Persepakatan yang jitu perlu dalam memastikan matlamat dapat dicapai.

Dalam mewujudkan satu komuniti dengan satu suara dan irama, sikap pilih kasih atau pilih bulu baik dari aspek sesioekonomi atau latar belakang pendidikan perlu dijauhi. Semua stigma negatif berkaitan program TVET ini dibuang baik daripada pihak kerajaan, industri, institusi pendidikan, ibu bapa, guru-guru dan para pelajar.

Pembangunan program yang berkualiti memerlukan sebuah komuniti yang aktif dan positif agar dapat menyumbang kepada pembangunan serta penambaikan berterusan terhadap program tersebut.

Bagi memperkasakan Program TVET ini, kerajaan juga telah memperuntukan RM5.9 billion bagi Tahun 2020, meningkat sebanyak 0.2 billion berbanding peruntukan bagi Tahun 2019.

Peruntukan yang diberi ini bukanlah suatu nilai yang kecil, namun jika kaedah pelaksanaan yang digunapakai tidak ditambah baik, ia akan menjadi penyebab kepada kerugian yang amat besar.

Ditambah pula dengan penubuhan Malaysian Technical University Network (MTUN) telah membuka ruang yang luas kepada para pelajar untuk menyambung pengajian sehingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang teknologi atau kemahiran.

Matlamat utama pengenalan TVET di Malaysia adalah bagi memenuhi permintaan industri kepada tenaga kerja berkemahiran seiring dengan kemajuan teknologi, sekaligus menyumbangkan kepada pertumbuhan ekonomi yang positif.

Tumpuan pembangunan negara pada masa kini yang lebih ke arah perindustrian dan pembuatan memerlukan sumber tenaga kerja yang berkebolehan, bermotivasi tinggi, cekap dan produktif.

Persoalannya kini, mampukah matlamat atau visi ini dicapai dengan hanya bergantung harap kepada perlaksanaan Program di Kolej Vokasional atau Institusi Kemahiran Awam yang lain tanpa ada bantuan atau sokongan daripada institusi pendidikan swasta?

Sisipan / Rujukan:

Treasury Government in Malaysia – Anggaran Perbelanjaan Persekutuan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Pendidikan Umum dan TVET

Astro Awani – Hari Kesihatan Mental Sedunia 2019: Promosi Kesihatan Mental Dan Pencegahan Bunuh Diri

Tengok bagaimana ICTI bagi pengajaran TVET melalui Diploma in Automotive Technology di sini. Apply dengan kelulusan SPM results, minimum 3 kredit.